Antara sebab pengambilan ikan penting ialah kerana ia membekalkan di antara 60 hingga 70 peratus protein haiwan kepada manusia. Protein penting untuk pertumbuhan dan perkembangan semua anggota badan, berfungsi membina tisu, kulit, rambut, kuku dan organ dalaman termasuklah otak serta jantung. Protein digunakan sebagai sumber haba dan tenaga sekiranya bekalan lemak serta karbohidrat dalam badan tidak mencukupi.
|
Ikan Isi Putih-Bawal |
|
Ikan Isi Putih-Jelawat |
|
Ikan Isi Putih-Kekek |
|
Ikan Isi Putih_Merah |
|
Ikan Isi Putih-Parang |
|
Ikan Isi Putih-Senangin |
Sumber : Berita Harian
Hasil kajian juga sudah membuktikan ikan mengandungi protein berkualiti tinggi, di samping asid amino yang diperlukan tubuh untuk pertumbuhan, malah memiliki kandungan khusus dan membantu mengurangi risiko berbagai penyakit merangkumi sakit jantung serta kanser.
Oleh itu, tidak mustahil apabila statistik menunjukkan sehingga 1995, kadar pengambilan ikan di Malaysia ialah sebanyak 39.1 peratus dan meningkat sehingga 56 peratus pada 2010.
Ikan turut mengandungi nutrien lain seperti asid lemak, vitamin dan mineral. Kandungan kalori lemak dalam ikan juga rendah. Kesedaran mengenai kaitan antara diet dan kesihatan menyebabkan pengguna lebih mengambil makanan kesihatan berasaskan ikan.
Khasiat ikan sudah pun dibuktikan dalam berbagai penelitian kesihatan dalam dan luar negara yang memperlihatkan kebaikan ikan bagi kanak-kanak, ibu hamil dan orang dewasa.
Antaranya, kajian penelitian di luar negara pada 2004, mendapati wanita yang mengambil ikan secara rutin sepanjang kehamilan akan mempunyai anak dengan kemampuan bahasa dan komunikasi yang lebih baik sebelum usia 18 bulan. Kajian penelitian yang membabitkan lebih 7,000 kanak-kanak itu berusaha menunjukkan, hubungan menu ikan dengan perkembangan neurologi dan aspek kognitif.
|
Ikan Berminyak-Cencaru |
|
Ikan Berminyak-Bawal Hitam |
Penelitian lain turut memperlihatkan bahawa risiko melahirkan bayi pramatang dapat dikurangkan secara signifikan apabila ibu banyak mengambil ikan selama kehamilannya. Kajian yang dilakukan oleh pengkaji lain pula menemukan kesan positif lainnya, memakan ikan dapat membantu kelahiran bayi dengan berat normal.
|
Ikan Berminyak-Kembung |
|
Ikan Berminyak-Salmon |
|
Ikan Berminyak-Sembilang |
Bagaimanapun, anda juga perlu tahu bahawa kandungan protein dalam isi ikan berbeza mengikut corak pemakanan, jantina, umur, kandungan lemak dan air di persekitaran. Ikan yang kurang berlemak mengandungi protein lebih tinggi berbanding ikan berlemak dan ia menyimpan lemak di dalam hati.
Ikan siakap, kerisi, merah, kerapu dan jenahak dikategorikan sebagai kurang berlemak. Jenis ikan berlemak pula ialah yang menyimpan lemak dalam tisu badan yang lain seperti kembung, cencaru, bawal, tenggiri dan selar kuning.
Bagi anda yang mahu membeli atau memilih ikan untuk dimasak beberapa perkara boleh dijadikan panduan. Antaranya, perhatikan terlebih dulu warna insang ikan berkenaan. Ikan yang baik dan segar, lazimnya warna insang adalah merah dan bukannya hitam atau lebam. Jika ikan bersisik pula pastikan sisiknya masih penuh dan tidak mudah tertanggal.
|
Ikan Berminyak-Tenggiri |
|
Ikan Berminyak-Terubuk |
|
Ikan Berminyak-Tongkol |
|
Ikan Berminyak-Tongsan |
Untuk mengetahui dan membezakan sama ada itu segar atau tidak, anda juga boleh menekan pada bahagian perutnya. Jika sudah lembik bererti sudah lama dan elak daripada membelinya kerana kurang berkhasiat.
Selain itu jangan tertipu dengan warna kulit ikan yang kelihatan segar terutama ikan kembung ataupun ikan cencaru kerana peniaga yang tidak bertanggungjawab dipercayai menggunakan air minuman berkarbonat untuk tujuan berkenaan.
INFO: Beberapa petua mengenai ikan:
Untuk mengelakkan ikan daripada busuk jika anda tidak mempunyai kelengkapan, ia perlu disiang dan dibuang segala isi perut, tahi, dan sisiknya. Tetapi ingat, ikan berkenaan tidak boleh dibasuh dengan air. Selepas disiang, biarkan ikan berkenaan berdarah lalu dibalut dengan kertas surat khabar seekor demi seekor dan jangan sesekali mencampurkannya. Selepas itu letakkan bungkusan itu pada tempat yang teduh. Ikan berkenaan akan tetap segar walaupun dibungkus selama 24 jam.
Bagi mengelakkan ikan melekat di dalam kuali apabila digoreng, anda bolehlah memasukkan sekeping asam gelugur ketika menggoreng ikan berkenan. Anda akan dapati ikan itu bukan saja tidak melekat tetapi juga cepat garing.
Asam jawa dapat menghilangkan hanyir ikan pari dan ikan duri. Mula-mula ambil asam jawa dan air, diramas di dalam satu bekas. Kemudian masukkan ikan pari atau ikan duri selama setengah jam. Selepas setengah jam, kikis hanyir pada badan ikan tadi hingga habis. Kemudian, barulah dipotong ikan tadi dan diramas dengan asam jawa bersama garam kasar berkali-kali. Gosok hingga bersih dan putih serta hilang bau hanyir.
Untuk menghilangkan hanyir ikan sungai antara yang boleh dilakukan ialah rendamkan ikan yang sudah disiang dengan air cucian beras. Biarkan selama 10 minit dan dibilas dengan air biasa, barulah ia boleh dimasak.
Bagi menghilangkan ikan darat (air tawar) pula, petua yang boleh diamalkan ialah gaul dan ramas ikan berkenaan dengan beberapa daun serai dan sedikit asam jawa. Perapkan ikan itu beberapa minit, kemudian dibilas dengan air biasa.
Ikan yang disimpan lama di dalam peti sejuk akan berasa tawar dan tidak segar. Cara mengatasinya ialah rendamkan ikan itu di dalam susu segar selama 15 minit. Masaklah seperti biasa. Ikan akan menjadi segar semula dan enak dimakan.
Sesetengah ikan, sisiknya sukar untuk ditanggalkan. Cara yang mudah ialah dengan merendamkan ikan di dalam air dan biarkan seketika. Kikis sisik ikan di dalam air. Anda akan dapati sisiknya mudah tertanggal.